Kumpulan Maher Zain

Kumpulan Maher Zain
Barakallah....

Monday, September 27, 2010

Cabang - Cabang Ilmu al - Quran

Tafsir Dan Ta’wil

Pengertian Tafsir pada bahasa ialah asal perkataan (الفسر) yang bermaksud menjelaskan atau menerangkan. Di dalam kamus Lisan al-Arab (لسان العرب) memberi maksud membuka sesuatu yang tersembunyi.[1] Ia juga bermaksud lafaz yang aneh atau sukar berdasarkan ayat :

Erti: dan mereka tidak membawa kepadamu sesuatu kata-kata Yang ganjil (untuk menentangmu) melainkan Kami bawakan kepadamu kebenaran dan penjelasan Yang sebaik-baiknya (untuk menangkis Segala Yang mereka katakan itu).[2]

Sebahagian ulama’ memberi maksud asal perkataan (سفر) ,adalah lawan kepada (فسر) yang bermaksud membuka atau Al-Kasyaf (الكشف)

Pengertian Tafsir pada istilah pula bermaksud suatu ilmu yang membicarakan secara khusus tentang kalam Allah dan menta’wilkan ayat-ayatNya, menerangkan lafaz-lafaz, membahaskan tentang cara dan bentuk pengucapan, menerangkan petunjuk-petunjuk, hukum –hakam, susunannya dan membentangkan tentang makna-maknanya, mengetahui nasikh dan mansukh, sebab nuzul, qarinah-qarinah yang menjelaskan apa yang kesamaran, menjelaskan hikmat-hikmat yang ada di dalamnya dan lainnya yang berkaitan dengan ayat-ayat Al-Quran.

Menurut pendapat Abu Hayyan, Tafsir bererti ilmu yang membahaskan cara ucapan lafaz Al-Quran. (Ilmu Qiraat, Dilalah yang meliputi ilmu sorof (صرف) , I’rab (اعراب) , bayan (بيان) , badi’ (بديع), lafaz haqiqi atau majaz, nasikh dan mansukh (ناسخ والمنسوخ) , sabab nuzul (سبب نزول) dan lain-lain lagi.

Al-Zarkasyi pula memberi pengertian tafsir sebagai pemahaman atau memahami tentang al-quran dan menjelaskan makna-makna serta mengeluarkan hukum. Menurut pengertian yang diberikan oleh Al-Kalbi pula, menerangkan makna Al-Quran serta menghuraikan apa yang dikehendaki oleh ayat menurut dalil dan hujah.

Al-Jurjani pula memberi maksud tafsir iaitu membuka dan melahirkan. Menjelaskan makna ayat, kisah yang terdapat di dalamnya, menjelaskan sebab penurunan ayat dengan lafaz yang terang dan jelas. Menurut pendapat Az-Zarqani tafsir ialah ilmu yang mengkaji tentang Al-Quran dari aspek dalilnya yang dimaksudkan oleh Allah dengan kadar yang termampu oleh manusia.[3]

Pengertian Ta’wil

Ta’wil pada bahasa adalah asal perkataan “aul” (اول) bermaksud kembali kepada asal. Ini berdasarkan ayat (surah Al-A’raf ayat 53).

53. tidak ada perkara Yang mereka tunggu-tunggukan melainkan akibat atau kesudahan (Apa Yang telah dijanjikan oleh Allah di Dalam Al-Quran), pada hari datangnya apa Yang telah dijanjikan Dalam Al-Quran itu (pada hari kiamat kelak), [4]

Ta’wil juga membawa maksud memikirkan atau mentafsirkan.Ia juga asal perkataan “ma’al” (مأل) yang bermaksud akibat atau kesudahan Ta’wil juga dikatakan sama makna dengan “Tafsir”. Ta’wil juga dapat membawa maksud At-Tadabbur iaitu menghayati. Ini berdasarkan ayat :


Erti: untuk mencari fitnah dan mencari-cari Takwilnya (memutarkan maksudnya menurut yang disukainya….[5]

Pengertian Ta’wil pada istilah diberikan kepada dua pendapat iaitu pendapat Ulama Salaf dan pendapat Ulama Muta’akhirin.Ulama’ Salaf member maksud ta’wil dengan menafsirkan kalam Allah serta menjelaskan pengertiannya sama ada sesuai dengan makna zahir atau bertentangan dengannya.Ia membawa maksud yang sama dikehendaki Allah.Contohnya ialah ta’wil berkaitan sesuatu khabar untuk menyatakan bahawa apa yang dikhabarkan itu benar-benar berlaku sebagaimana firman Allah:

53. tidak ada perkara Yang mereka tunggu-tunggukan melainkan akibat atau kesudahan (Apa Yang telah dijanjikan oleh Allah di Dalam Al-Quran), pada hari datangnya apa Yang telah dijanjikan Dalam Al-Quran itu (pada hari kiamat kelak), berkatalah orang-orang Yang telah melupakannya (yang tidak menghiraukannya Dalam dunia) dahulu: "Sesungguhnya telah datang Rasul-rasul Tuhan Kami Dengan membawa kebenaran, maka Adakah untuk Kami pemberi syafaat supaya mereka memberi syafaat bagi Kami atau (bolehkah) Kami dikembalikan (ke dunia) supaya Kami dapat beramal, lain daripada apa Yang Kami telah kerjakan?" Sesungguhnya mereka telah merugikan diri mereka sendiri, dan telah lenyaplah dari mereka perkara-perkara Yang mereka ada-adakan dahulu.[6]

Ulama Muta’akhirin dari kalangan Fuqaha’, Mutakallimin, muhaddithin, dan Ahli Tasawuf memberikan pelbagai pengertian ta’wil antaranya bermaksud menukar atau memalingkan sesuatu makna yang rajih dan kukuh kepada makna.yang lemah atau marjuh dengan disokong oleh hujah dan dalil.

Ibnu Jarir At-Tabari mengatakan ta’wil ialah mentafsirkan dan menjelaskan maknanya. IA membawa maksud sama makna dengan tafsir.Terdapat juga ulama memberi pengertian tafsir dengan mentarjih sebahagian makna dari ayat Al-Quran yang mengandungi banyak.pengertian.

Menurut pendapat As-Suyuti dan al-Alusi, ta’wil bermaksud istinbat ulama yang tahu makna-makna tersembunyi dan segala rahsia tuhan yang terdapat di dalam Al-Quran. Al-Jurjani pula member pengertian ta’wil sebagai memalingkan lafaz daripada makna zahir kepada makna yang tidak bertentangan dengan Al-Quran dan Hadis.

Perbezaan Antara Tafsir Dan Ta’wil:

Ulama’ memberikan pendapat yang berbeza tengan perbezaan tafsir dan ta’wil. Seperti pendapat Al-Asfahani (الأصفهاني), tafsir adalah Lebih umum berkaitan dengan lafaz-lafaz. Selalunya digunakan terhadap kitab-kitab Allah dan selainnya. Ia juga digunakan terhadap lafaz-lafaz mufradat. Manakala beliau memberi maksud ta’wil ialah Berkaitan dengan makna-makna. Selalunya digunakan terhadap kitab-kitab Allah sahaja ia Juga digunakan dalam susunan ayat (جملة)

Abu Talib At-Talabi pula membezakan pengertian tafsir sebagai berikut. Tafsir ialah menerangkan kedudukan lafaz sama ada berbentuk hakiki atau majazi. Manakala ta’wil pula ialah mentafsir intipati atau makna batin sesuatu lafaz.

As Suyuti dan Al-Alusi sependapat bahawa tafsir itu membongkar makna Al-Quran yang zahir manakala ta’wil itu adalah istinbat ulama yang tahu makna-makna tersembunyi dan segala rahsia tuhan yang terdapat di dalam Al-Quran.

Sebahagian ulama yang lain berpendapat tafsir lebih kepada menerangkan makna lafaz yang hanya menerima satu lafaz sahaja dan mempunyai kaitan dan hubungan dengan riwayah.Ia berdasarkan riwayat daripada para sahabat dan mengulas ayat secara zahir. Ta’wil pula lebih kepada menetapkan makna yang dikehendaki oleh sesuatu lafaz yang dapat menerima banyak makna dengan disokong oleh dalil atau nas dan mempunyai hubungan dirayah atau pemahaman yang berdasarkan pemahaman terhadap ayat melalui kaedah-kaedah bahasa Arab dan mengulas apa yang ada di sebalik ayat secara batin.

Namun begitu, Abu Ubaidah dan Ibnu Jarir berpendapat Tafsir dan Ta’wil adalah maksud yang sama pendapat ini tersebar di kalangan Ulama’ Tafsir Salaf.

Rumusan daripada perbezaan pendapat-pendapat di atas sebagaimana yang dinyatakan oleh Az-Zahabi, tafsir dikaitkan dengan riwayah yang membawa maksud Al-Kasyaf dan menerangkan. Al-Kasyaf atau membongkar terhadap makna yang dikehendaki melalui penjelasan hadis ataupun riwayat para sahabat. Manakala Ta’wil pula dikaitkan dengan dirayah iaitu melakukan tarjih terhadap salah satu daripada andaian-andaian terhadap lafaz berdasarkan dalil yang merupakan ijtihad terhadap makna ayat Al-Quran yang tersembunyi serta mengandungi berbagai-bagai makna.[7]

Pengertian Ilmu Tafsir:

Ilmu Tafsir ialah suatu ilmu yang menjelaskan tentang penurunan sesuatu ayat, keadaan-keadaannya, kisah-kisahnya, Sebab Nuzul, Makki dan Madani, Ayat Muhkamat dan Mutasyabihat, Nasikh dan Mansukh, Am dan Mutlaq, Mujmal dan Mufassal dan lain-lain yang ada kaitan dengan tafsir al-Quran.

Sebab-Sebab Perlu Mempelajari Ilmu Tafsir:

Sebagai seorang ahli agama, kita perlu mempelajari ilmu tafsir kerana bahasa Al-Quran yang sangat tinggi mutunya dan memerlukan penafsiran daripada Rasulullah, para sahabat, tabi’in dan ulama’. Selain itu ia bertujuan untuk mengetahui secara lebih terperinci dan halus tentang makna isi Al-Quran supaya umat Islam tidak tersalah anggap tentang kehendak dan tujuan ayat al-Quran terutamanya yang berbentuk majaz atau mushtarak .

Selain itu ilmu tafsir juga penting untuk memahami makna-makna al-Quran dengan lebih tepat di samping mengambil atau mengistinbat hukum yang terkandung dalam Al-Quran serta memahami atau mengikuti hikmat-hikmat yang terdapat dalam al-Quran.

Apabila kita memahami tafsiran sesuatu ayat, maka kita tidak ragu-ragu untuk beramal dengan petunjuk dan akhlak dalam al-Quran. Kita juga perlu menghindarkan diri dari mentafsir dan memahami ayat secara salah.

Di samping itu memepelajari ilmu tafsir perlu mengikut mengikut disiplin-disiplin ilmu yang benar agar dapat mengulas kalam Allah supaya dapat beramal dengan baik.serta memahami kalam Allah dengan lebih jelas dan terang.

Seorang ahli pentafsir perlu menguasai pelbagai bidang ilmu yang berkaitan bahasa Arab. Kerana al-Quran itu diturunkan dalam bahasa Arab. Antara ilmu yang diperlukan oleh pentafsir ialah Ilmu Bahasa Arab. Seseorang yang beriman tidak seharusnya bercakap atau memperkatakan tentang Al-Quran seandainya ia jahil dalam ilmu Bahasa Arab. Ilmu Nahu juga perlu dikuasai oleh pentafsir. Seseorang itu mestilah mengetahui makna-makna berserta dengan perubahan I’rab (اعراب).

Ilmu lain yang diperlukan oleh pentafsir adalah Ilmu Sorof, Ilmu Al-Ishtiqaq, Ilmu Al-Ma’ni, Al-Bayan, Al-Badi’, Ilmu Uslub dan Balaghah, Ilmu Qiraat, Ilmu Usuluddin dan Ilmu Tauhid, Ilmu Usul Fiqh, Ilmu asbab Nuzul, Ilmu Nasikh dan Mansukh, Ilmu Fiqh,Ilmu Al-Hadis dan lain-lain yang mempunyai kaitan dengan ilmu Al-Quran.

Cara mentafsir Al-Quran

Al-Quran perlu ditafsir mengikut kaedah-kaedah yang betul lagi benar malah tidak boleh menafsirkan ayat Al-Quran sebarangan. Pertama sekali seorang pentafsir perlu mencari makna Al-Quran daripadA Al-Quran juga. Sekirangay tidak terdapat maknanya di dalam Al-Quran maka hendaklah dirujuk kepada hadis dan riwayat yang sahih.

Sekiranya tidak terdapat riwayat yang sahih, maka perlu merujuk kepada tafsiran sahabat kerana para sahabat merupakan orang yang paling hamper dengan nabi S.A.W. Ia boleh dinamakan sebagai tafsiran yang marfu’ (مرفوع).

Jika tidak terdapat tafsiran sahabat maka hendaklah merujuk kepada tafsiran tabi’in. jika tidak terdapat tafsiran tabi’in maka hendaklah menggunakan pendapat sendiri atau ijtihad. Namun tidak semua orang boleh menggunakan ijtihad sendiri jika hatinya tidak bersih dari segala kekotoran hasad dengki dan hawa nafsu.

Syarat-syarat pentafsir:

Seorang pentafsir perlu akidah yang benar dan lurus malah bebas dari pengaruh hawa nafsu.Pentafsir juga hendaklah mentafsir Al-Quran dengan al-Quran lebih dahulu.Jika tiada makna di dalam Al-Quran maka pentafsir perlu mentafsir Al-Quran dengan hadis sahih.

Jika tidak terdapat dalam hadis sahih maka perlu mengkaji dan meneliti kata-kata dan pendapat sahabat yang rapat dengan nabi S.A.W. Jika tidak mendapati pendapat dari para sahabat, maka perlu mengkaji pendapat tabi’in yang thiqah serta mahir dengan ilmu-ilmu bahasa Arab.

Perkara utama yang perlu ada terhadap dalam diri pentafsir adalah mengetahui perkara-perkara asas berkaitan al-Quran seperti Ilmu Qiraat, Sabab Nuzul, Nasikh dan Mansukh dan lain-lain ilmu dalam bahasa Arab. Pentafsir juga perlu berhati-hati, cermat dan teliti dalam memahami ayat agar selari dengan makna serta syarak.

Ketika mentafsir pula seorang pentafsir tidak boleh terus meyakini maksud al-Quran tanpa menyelidik terlebih dahulu tujuan ayat tersebut diturunkan dan juga tidak boleh mengenepikan makna lafzi yang asas.

Pentafsir perlu betul niat dan bersih tujuan mengelakkan penyelewengan dan jangan mengisi tafsiran dengan perkara yang tidak penting serta jangan mentafsirkan ayat secara gharib.Ketika menafsirkan ayat Al-Quran seseorang jangan berpegang atau bersandarkan kepada hadis maudhu’.

Hendaklah dimulai perbincangan dari segi lafaz atau mufradat yang sukar difahami seperti ma’ani, bayan dan badi’. Pentafsir juga hendaklah mengulas ayat secara keseluruhan malah sentiasa tetap dengan kehendak ayat.Di samping itu pentafsir hendaklah sentiasa memerhati dan meneliti siyaq al-kalam (سياق الكلام) iaitu taqdim dan ta’khir (تقديم و التأخير) .



[1] Lisan Al-Arab, Imam Jamaluddin Muhammad Bin Mukarram Ibnu Manzur Al-Afriki Al-Masri, Terbitan Dar Sader, Beirut Lebanon.

[2] Surah Al-Furqan: 33

[3] Pengantar Ulum Al-Quran, Dr. Rosmawati Bt Ali, m/s 196, Terbitan Pustaka Salam Sdn Bhd, Cetakan Pertama

[4] Surah Al-A’raf :53

[5] Surah Ali-Imran: 7

[6] Surah Al-A’raf:53

[7] At-Tafsir Wal Mufassirun, Dr Muhammad Hin Az-Zahabi, m/s 24, Kuliah Syariah Universiti Al-Azhar, Terbitan, Maktabah Wahbah, Al-Kaherah.

1 comment:

  1. Satu ilmu yg menarik, sila lihat juga satu kajian yg agak menarik dlm bentuk baru http://kajian-quran.blogspot.com/

    ReplyDelete