Kumpulan Maher Zain

Kumpulan Maher Zain
Barakallah....

Monday, September 27, 2010

ilmu Qiraat

Ilmu Qiraat

Pengertian Al-Qiraat:

Al-Qiraat pada bahasa ialah asal dari kata jamak dari perkataan qira’ah. (قراءة-قراءات) yang bermaksud bacaan. Pada istilah pula bermaksud ilmu yang mengetahui cara membaca kalimah-kalimah Al-Quran sama .ada bacaan tebal atau nipis sehinggalah kepada perbezaan sebutan huruf pada lafaz-lafaz Al-Quran itu sendiri.

Hubungan antara Al-Quran dengan Al-Qiraat.

Imam Az-Zarkasyi dalam kitabnya bernama (برهان) : al-Quran dan al-Qiraat adalah dua hakikat yang berbeza. Al-Quran iala wahyu yang diturunkan ke atas nabi Muhammad S.A.W yang menjadi mukjizat penerangan. Manakala Al-Qiraat pula ialah perbezaan dari segi lafaz sebutan wahyu dan bagaimana cara membaca. Ia mesti di ambil secara talaqqi dan musyafahah.

Dr. Muhammad Salim Muhaisin menyatakan Al-Quran dan Al-Qiraat adalah dua hakikat yang sama. Ini berdasarkan kepada pengertian Al-Quran dan Qiraat yang sama di ambil dari masdar qira’ah قراءة.

Istilah-Istilah Penting Dalam Ilmu Qira’at

Terdapat beberapa istilah penting yang perlu diketahui dalam ilmu Qira’at antaranya perkataan (Qiraa’at: قراءة ), (Imam: امام ), (Riwayat: رواية ), (Rawi: راوي ) dan (Toriq: طريق ).

Qiraa’at: قراءة iaitu bacaan yang disandarkan kepada salah seorang daripada Imam-imam Qurra’ yang mana bersambung bacaan mereka (sanadnya) kepada Rasulullah S.A.W.

Imam: امام iaitu orang yang disandarkan bacaan kepadanya serta menjadi ikutan umat khususnya bagi mereka yang sezaman dengannya.

Riwayat: رواية iaitu bacaan yang disandarkan kepada orang yang meriwayatkan bacaan daripada Imam Al-Qurra’.

Rawi: راوي iaitu orang yang meriwayatkan bacaan daripada Imam Al-Qurra’.

Toriq: طريق iaitu bacaan yang disandarkan kepada orang yang meriwayatkan bacaan daripada Rawi. Demikian juga orang yang meriwayatkan bacaan daripada Rawi tersebut dinamakan sebagai Toriq. Penggunaan Istilah Toriq tidak dikhususkan bagi mereka dan bacaan mereka sahaja bahkan ia juga digunakan bagi bacaan dan generasi sesudah mereka hingga ke bawah.[1]

Bacaan sepuluh yang Mutawattir:

Bacaan sepuluh yang Mutawattir iaitu bacaan yang disandarkan kepada 10 Imam Qurra’ serta diriwayatkan oleh kumpulan manusia yang ramai. Bacaan sepuluh yang Mutawattir ini terbahagi kepada dua iaitu Al-Qiraat Al-Asyr Al-Kubra (القرءات العشر الكبرى) dan Al-Qiraat Al-Asyr As-Sughra (القرءات العشر الصغرى).

Al-Qiraat Al-Asyr Al-Kubra (القرءات العشر الكبرى) ialah bacaan sepuluh yang besar yang disandarkan kepada sepulu imam Qurra’ yang terkenal iaitu Imam Nafi’, Imam Ibnu Kathir, Imam Abu Amru, Imam Ibnu Amir, Imam Ashim, Imam Hamzah, Imam al-Kisaie, Imam Abu Ja’afar, Imam Ya’akub dan Imam Khalaf Al-Asyir. Bacaan –bacaan ini dihimpunkan oleh Imam Al-Jazari dalam matannya yang disebut Matan Al-Jazariah متن الجزرية ).

Al-Qiraat Al-Asyr As-Sughra (القرءات العشر الصغرى) iaitu bacaan-bacaan sepuluh yang kecil. Bacaan-bacaan yang disandarkan kepada sepuluh imam Qurra’ yang sama tetapi gabungan dua sumber iaitu Al-Qiraat As-Sab’ (القرءات السبع) dan Al-qiraat Al-Thalath (القرءات الثلاث).

Al-Qiraat As-Sab’ (القرءات السبع) bacaan-bacaan tujuh yang disandarkan kepada tujuh imam Qurra’ iaitu: Imam Nafi’, Imam Ibnu Kathir, Imam Abu Amru, Imam Ibnu Amir, Imam Ashim, Imam Hamzah, Imam al-Kisaie.

Al-qiraat Al-Thalath (القرءات الثلاث) iaitu bacaan-bacaan tiga (pelengkap bagi bacaan tujuh ) yang disandarkan kepada tiga imam Qurra’ iaitu: Imam Abu Ja’afar, Imam Ya’akub, Imam Khalaf Al-Asyir.

10 Imam Qira’at:

Berikut adalah 10 imam qira’at yang masyhur berserta biodata.

Imam Nafi’ امام نافع atau nama sebenar beliau Nafi’ Bin Abd Rahman Bin Abi Naim Allaisi. Nama gelaran beliau ialah Abu Ruyam. Beliau wafat pada 169 Hijrah ketika berumur 99 tahun. Anak murid beliau iaitu Qalun قالون dan Warsy ورش . Qalun قالون Nama sebenarnya ialah Abu Musa Bin Mina Bin Wardan Bin Isa Abdul Samad dilahirkan pada 120 Hijrah dan wafat pada 220 Hijrah. Warsy ورش atau nama sebenarnya Abu Said Othman Bin Said Bin Abdullah Al-Qibti Al-Masri dilahirkan pada : 110 Hijrah dan wafat pada 197 Hijrah.

Ibnu Kasir ابن كثير atau nama sebenar beliau Abu Said Adullah Bin Kasir Bin Amru Bin Abdullah Bin Zazan Bin Fairuz Bin Hirmuz Al-Dari. Dilahirkan pada 45 Hijrah dan wafat pada 120 Hijrah. 2 orang anak murid beliau yang masyhur iaitu Qunbul قنبل dan Al Bazzi البزى . Al Bazzi البزى atau nama sebenarnya Abu Hasan Ahmad Bin Muhammad Bin Abdullah Bin Al-Qasim Bin Nafi’ Bin Abi Bazzah Al-Makki dilahirkan pada 170 Hijrah dan wafat pada 250 Hijrah. Manakala Qunbul قنبل atau nama sebenarnya Abu Amru Muhammad Bin Abd Rahman Bin Muhammad Bin Khalid Bin Sa’id Bin Al-Makhzumi dilahirkan pada 195 Hijrah dan wafat pada 291 Hijrah.

Abu Amru ابو عمرو atau nama sebenar beliau ialah Abu Amru Ziban Bin Al-A’La’ Bin Ammar Bin Al-Iryan Bin Abdullah Bin Al-Husain Al-Mazani. Dilahirkan pada 68 Hijrah dan wafat pada 154 Hijrah. Anak murid beliau yang masyur iaitu Al-Duri الدورى dan Al-Susi السوسى . Al-Duri الدورى atau nama sebenarnya Abu Amru Hafsh Bin Umar Bin Abdul Aziz Al-Nahwi Al-Baghdadi wafat pada 246 Hijrah. Manakala Al-Susi السوسى atau nama sebenarnya Abu Syuaib Saleh Bin Ziad Bin Abdullah Bin Ismail Bin Al-Jarud yang wafat pada 261 Hijrah.

Ibnu Amir ابن عامر atau nama sebenar beliau Abu Imran Abdullah Bin ‘Amir Bin Yazid Bin Tamim Bin Rabi’ah Al-Yahshabi dilahirkan pada 8 Hijrah dan wafat pada 118 Hijrah. Anak murid beliau iaitu . Hisyam هشام dan Ibnu Dzakuan ابن ذكوان. Hisyam هشام atau nama sebenarnya Abu Al-Walid Hisyam Bin Ammar Bin Nasir Bin Maisarah Al-Salma dilahirkan pada153 Hijrah dan wafat pada 245 Hijrah. Manakala Ibnu Dzakuan ابن ذكوان atau nama sebenarnya Abu Amru Abdullah Bin Ahmad Bin Bashir Bin Dzakuan lahir pada 173 Hijrah dan wafat pada 242 Hijrah.

‘Aashim عاصم atau nama sebenar beliau Abu Bakar “Aashim Bin Abdullah (Abi Najud) Bin Bahdalah Al-Asadi.Beliau wafat pada127 Hijrah. Anak murid beliau yang masyhur iaitu Syu’bah شعبة dan Hafsh حفص. Syu’bah شعبة atau nama sebenarnya Abu Bakar Syu’bah Bin ‘Iyash Bin Salim dilahirkan pada 95 Hijrah dan wafat pada 193 Hijrah. Manakala Hafsh حفص atau nama sebenarnya Abu Umar Hafsh Bin Sulaiman al-Mughirah Bin abi Daud al-Kufi dilahirkan pada 90 Hijrah dan wafat pada 190 Hijrah.

Hamzah حمزة atau nama sebenar beliau ialah Abu ‘Imarah Hamzah Bin Habib Bin Imarah Bin Ismail Az-Zayyat. Beliau dilahirkan pada 80 Hijrah dan wafat pada 156 Manakala Khallad خلاد atau nama sebenarnya Abu Isa Khallad Bin Khalid al-Syaibani al-Kufi) yang wafat pada 220 Hijrah.

Imam Qurra’ yang ke tujuh Al-Kisaie الكساءي .Nama sebenar beliau ialah Abu Al-Hasan Ali Bin Hamzah Bin Abdullah Bin Othman An-Nahwi dilahirkan pada 119 Hijrah dan wafat pada 189 Hijrah. 2 orang anak muridbeliau yang masyhur iaitu Abu Al-Harith ابو الحارث dan Al-Duri الدورى. Abu Al-Harith ابو الحارث atau nama sebenarnya Al-Laith Bin Khalid Al-Marwazi Al-Baghdadi wafat pada 240 Hijrah. Manakala Al-Duri الدورى atau nama sebenarnya Abu Amru Hafsh Bin Umar Bin Abd Aziz Al-Nahwi wafat pada 246 Hijrah.

Imam Abu Ja’afar Al-Madani ابو جعفر المدنى atau nama sebenar beliau Abu Ja’far Yazid Bin Al-Qa’Qa’ Al-Makhzumi Al-Madani. Beliau wafat pada 130 Hijrah. Anak murid beliau iaitu Abu Al-Harith ابو الحارث dan Ibnu Jammaz ابن جماز . Abu Al-Harith ابو الحارث atau nama sebenarnya Isa Bin Wardan Al-Madani wafat 160 Hijrah manakala Ibnu Jammaz ابن جماز Atau nama sebenarnya Abu Al-Rabi’ Sulaiman Bin Muslim Bin Jammaz Al-Madani dilahirkan pada 117 Hijrah dan wafat pada 170 Hijrah.

Imam Ya’kub Al-Hadhrami يعقوب الحضرمى atau nama sebenar beliau Abu Muhammad Ya’kub bin Ishaq Bin Zaid Bin Abdullah Bin abu Ishaq Al-Hadhrami Al-Basri. Beliau dilahirkan pada 117 Hijrah dan wafat 205 Hijrah. Anak murid belau iaitu Ruwais رويس dan Rauh روح. Ruwais رويس atau nama sebenarnya Abu Abdullah Muhammad Bin Al-Mutawakkil Al-Basri. Beliau wafat pada 238 Hijrah. Manakala Rauh روح atau nama sebenarnya Abu Al-Hasan Rauh Bin Abd Mu’min Al-Basri wafat pada 234 Hijrah.

Imam Qurra’ yang kesepuluh iaitu Khalaf Al-‘Asyir خلف العاشر . Nama sebenar beiau ialah Abu Muhammad Khalaf Bin Hisyam Bin Talib al-Bazzar. Beliau dilahirkan padaahir 150 Hijrah dan wafat pada 229 Hijrah. Anak murid beliau yang masyhur iaitu Ishaq اسحاق dan Idris ادريس. Ishaq اسحاق atau nama sebenarnya Abu Ya’kub Ishaq Bin Ibrahim Bin Othman al-Marwazi Al-Baghdadi wafat pada 286 Hijrah. Manakala Idris ادريس atau nama sebenarnya Abu Al-Hasan Idris Bin abd Karim Al-Haddad Al-Baghdadi dilahirkan pada 189 Hijrah dan wafat pada 292 Hijrah.[2]



[1] Tajwid Al-Quran Qiraat ‘Ashim Riwyat Hafs Toriq As-Syatibi, Abu Mardiyah, m/s 316, Terbitan Al-Jenderaki Enterprise, Cetakan Ketiga Februari 2003, Kuala Lumpur.

[2] Al-Ikhtilaf Baina Al-Qira’at, Ahmad Al-Baili, m/s 80-85, Terbitan Ad-Dar As-Saudaniah LilKutub.

No comments:

Post a Comment